14 hb Februari 2009
TERAS dan SHURA membantah keras kebenaran kapal perang Amerika USS New Orleans berlabuh di pelabuhan Pulau Pinang yang dikatakan akan berada di perairan Malaysia dari 11-15hb.
Ini menunjukkan adanya kerjasama Malaysia dengan tentera Amerika dan ia suatu yang sama sekali tidak dapat dan tidak boleh dikompromikan .
Sementara di waktu yang sama Parlimen Malaysia telah bersidang khas pada Januari 2009 yang lalu untuk mengutuk sokongan Amerika terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Ghazzah , tiba-tiba tentera imperialis Amerika dibenarkan pula berada di pelabuhan Malaysia.
Kami mendesak supaya kapal tentera laut Amerika itu segera diarah keluar dari pelabuhan dan perairan Malaysia tanpa syarat .
TPM Datuk Seri Najib pernah dahulu mengatakan kehadhiran anggota tentera laut Amerika yang datang itu adalah untuk berihat sebagai pelancong.
Kali ini sebahagian 800 anggota tentera imperialis itu kelihatan berkeliaran di Pulau Pinang.
Dengan kelengkapan yang canggih untuk merisik dan mendapat maklumat mengenai Malaysia sudah tentu agenda tentera laut Amerika berlabuh di perairan Malaysia bukan sekadar untuk berihat.
Kami kesal terhadap Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan dan kini PM Datuk Seri Abdullah yang memandang rengan terhadap sensitiviti rakyat Malaysia dalam hal ini serta tidak mengendahkan bantahan rakyat yang tidak dapat menerima kehadhiran tentera Amerika di bumi Malaysia.
Kami juga mendesak kerajaan Malaysia mengkaji semula semua kerjasama ketenteraan dengan Amerika dan mendedahkan kepada awam apakah jenis perjanjian yang telah dimeterai antara Malaysia dengan Amerika dalam hal-hal ketenteraan.
Kami mendesak supaya semua kerjasama itu hendaklah dihentikankan segera agar Malaysia tidak dilihat bersikap hipokrit terhadap sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mana-mana negara yang kini telah menerima akibat buruk dari campurtangan Amerika seperti di Iraq , Pakistan dan Afghanistan .
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha SHURA
Merangkap
Presiden TERAS