SHURA GESA JANGAN GADAI PERPADUAN ISLAM
RANTAU NUSANTARA OLEH PERANGKAP MUSUH
SHURA mengesa perselisehan yang digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang bernafsu untuk menimbulkan ketegangan perhubungan antara umat Islam di rantau ini perlu dibendung oleh semua gerakan Islam .
Isu yang ditimbulkan oleh segelintir mereka di Indonesia yang beria-ia untuk “menganyang” Malaysia dan dengan itu melepaskan kemarahan hanya kerana dakwaan suatu aspek keseniaan Indonesia di”curi” oleh Malaysia adalah insiden yang sangat malang .
SHURA berpendirian adalah terlalu rapuh untuk mengizinkan kesatuan umat dirosakkan dengan rumusan dan penyebaran emosi tidak terkawal di atas isu yang sangat mungkin diselesaikan dengan cara yang rasional .
Umat Islam seharusnya sangat mengerti betapa keutuhan perpaduan dan kesatuan umat Islam di nusantara ini sudah lama dicemburui oleh kuasa Barat. Apa sahaja isu kecil apatahlagi isu besar akan dijadi bahan bakar emosi yang boleh membuka celah untuk mereka menjustifikasikan campurtangan di rantau ini atas nama menjamin stabilitas.
Lantaran itu semua pihak terutama media dan para aktivis ormas dan orpol di kedua-dua negara serumpun dan seakar ini hendaklah sejujurnya mengelakkan diri dari menyumbang kepada ketegangan yang menyemarakan sentimen kemarahan yang samasekali tidak membina.
SHURA merakamkan rasa amat sedih dan malang sekali jika ada umat Islam yang mudah terperangkap dengan agenda “ pecah dan perintah” yang sedemikain lama digerakkan oleh musuh Islam diseluruh dunia.
Sesungguhnya fanatik nasionalisme kenegaraan mahupun kebangsaan tidak boleh mengambil tempat persaudaraan dan kesatuan umat .
SHURA mengingatkan Islam samasekali tidak dapat menerima perpecahan akibat kelalaian umat yang dipengaruhi oleh sentiment sempit asobiyyah watoniyyah. Bertitik tolak dari ingatan Allah S.W.T. dalam Surah Al Imran ayat 103:
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا..
“ Berpeganglah Kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.....” adalah landasan yang paling kukuh untuk setiap warga keluarga Muslimin di rantau ini jangan membenarkan mana-mana pihak melaksanakan rancangan jahat untuk memecah belahkan umat Islam .
Oleh yang demikian SHURA menyarankan perhubungan baik dan rasa kebersamaan umat di rantau ini hendaklah disuburkan melalui pelbagai gerakerja di pelbagai lapisan. Bahawa agenda lebih awla iaitu iqamatuddinul Islam fil ardh dan cabaran yang lebih besar iaitu menangani kemunduran dan keterbelakangnya umat dari segenap aspek disamping makar musuh untuk menghancur sendi kekuatan umat , tidak boleh diganggu oleh isu-isu kecil yang dihangatkan di luar proposi dan di luar rasional.
Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi /Ketua Umum SHURA